Thursday, October 13, 2016

Penderaan

Elvy Nellysha | 4:51:00 PM | 0Comments |



Baru-baru ini hangat diperkatakan isu penderaan kanak-kanak yang semakin menjadi-jadi. Tidak kira usia, tidak kira golongan mana sekalipun, isu penderaan semakin menjadi-jadi. Ia lebih menjadi teruk apabila penderaan sehingga menyebabkan kematian.  Penderaan ini mempunyai dalam pelbagai bentuk sama ada dalam bentuk fizikal mahupun mental. Penderaan merupakan perbuatan yang berniat untuk mencederakan kanak-kanak tersebut.  Jenis penderaan yang dapat dikenalpasti adalah seperti berikut:

FIZIKAL
Fizikal berlaku apabila terdapat kecederaan pada tubuh badan kanak-kanak tersebut seperti lebam, parut. Ia boleh dilihat dari mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak yang telah menjadi mangsa dera.  Ia terjadi apabila berlaku kekerasan yang telah disengajakan dengan niat untuk mencederakan kanak-kanak tersebut. Perbuatan yang kebiasaannya dilakukan oleh individu yang mendera adalah seperti menendang, menampar dan mencekik sehingga menyebabkan kesan kepada tubuh badan kanak-kanak tersebut. Sekiranya menjadi lebih serius, ia boleh mendorong kanak-kanak tersebut untuk membunuh diri dan mengalami penyakit jiwa yang serius.

MENTAL
Penderaan secara mental terbahagi kepada 5 kategori, iaitu berlaku penolakan, pengasingan, menakutkan, tidak mengambil peduli, dan merasuah fikiran kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak yang kurang mendapat kasih sayang boleh menyebabkan emosi kanak-kanak tersebut terganggu.  Kesannya, ia akan menyebabkan kanak-kanak yang didera mempunyai masalah emosi, kemurungan yang berpanjangan, suka menyendiri dan mempunyai perkembangan yang lambat berbanding kanak-kanak yang lain. Adalah tidak mustahil ia akan menjadi pendera yang serius apabila meningkat dewasa akibat gangguan emosi yang sering berubah-ubah.

SEKSUAL
Penderaan seksual pula melibatkan kanak-kanak yang dipaksa, dipujuk untuk memuaskan nafsu seksual seseorang individu sehingga mendorongnya melakukan hubungan seksual. Ia boleh merangkumi seperti meliwat, mencium atau melakukan beberapa seks oral.
Terdapat pelbagai punca penderaan yang telah dikenalpasti oleh individu yang telah melakukan penderaan kepada kanak-kanak. Antaranya adalah seperti berikut:
·         Pihak atau individu yang mendera kurang mendapat sokongan daripada orang sekeliling dan mempunyai nilai moral yang rendah.
·         Tekanan di tempat kerja sehingga menyebabkan individu tersebut seperti ibu bapa mula melepaskan tekanan yang dihadapi kepada anak-anak mereka.
·         Faktor ekonomi yang memaksa ibu bapa melakukan penderaan kerana telah hilang pertimbangan apabila menghadapi krisis ekonomi dalam keluarga.
·         Kurangnya didikan ilmu agama tentang pentingnya membina hubungan kekeluargaan yang lebih harmoni.
Langkah-langkah pencegahan untuk membanteras penderaan kanak-kanak perlu diambil untuk mengelakkan peningkatan penderaan kanak-kanak. Antaranya perlu diberi bimbingan dan kaunseling terhadap individu yang terlibat. Ini adalah kerana ia perlu sedar tentang cara-cara mendidik anak-anak dengan baik dan membina hubungan keluarga dengan lebih harmoni. Individu tersebut perlu sedar bahawa tanggungjawab yang dipikul untuk menjaga amanah Allah ini adalah sangat besar. Secara tidak langsung, ia mempengaruhi perkembangan kanak-kanak untuk menjadi insan yang berguna pada masa hadapan.

Seterusnya, masyarakat sekeliling perlu memainkan peranan yang sangat penting untuk membanteras isu ini. Masyarakat perlu mengambil tahu jika terdapat jiran mereka yang mula melakukan penderaan kepada anak-anak mereka. Jika terdapat penderaan yang semakin serius, masyarakat perlu membuat laporan polis berkaitan penderaan tersebut.  Ini adalah antara langkah awal untuk mencegah isu ini menjadi semakin meningkat sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak yang tidak berdosa tersebut.

Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak perlu dipandang dengan lebih serius. Ini adalah kerana kanak-kanak yang lahir merupakan aset penting yang perlu dijaga.  Sekiranya berlaku penderaan, ia akan menyebabkan kanak-kanak tersebut boleh menjadi ganas apabila semakin meningkat dewasa. Ia akan merosakkan pemikiran kanak-kanak tersebut dan tidak mempercayai orang dewasa. Oleh itu, sikap kasih sayang perlu diterapkan kepada kanak-kanak tersebut untuk melahirkan insan yang berguna pada masa hadapan kepada masyarakat dan negara.




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...